Pejam celik pejam celik dah nak masuk tahun baru. Cepat masa berlalu, dah setahun kita di tahun 2010. Bila je masuk tahun baru, ramailah bercakap pasal azam. Sudah menjadi kelaziman pada awal tahun begini, ramailah asyik bercakap pasal azam tahun baru. Pasti ada yang akan bertanyakan kepada kita, apakah azam kita pada tahun ini. Saya? Mestilah ada azam baru dan ingin saya cuba ubah tentang diri saya ini. Pasti ramai di kalangan anda juga yang akan atau sudahpun membina azam tahun 2011 ni.
Tahun baru sudah semestinya membuka jendela lembaran baru dan nafas segar bagi kita. Oleh itu amat bersesuaian tahun baru ini dimulakan dengan azam. Namun, apakah sebenarnya azam ini? Adakah azam daripada tahun lepas yang tak tercapai dibawa ke tahun baru ini? Pelbagai azam boleh dibina, ada azam baru, namun ada juga azam yang diperbaharui lantaran azam tahun lepas hanya tinggal azam sahaja. Kadang-kadang, azam muncul sekarang, namun hilang dua tiga bulan kemudian, hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja.
Namun, tidak mustahil ada juga orang yang langsung tidak mempunyai azam apa-apa. Jangan terkejut! Apabila ditanya pasal azam, jawapan hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu atau tidak pasti, mungkin juga baru terlintas berfikir azam dia. Sesetengah beranggapan orang yang tidak membina azam adalah orang yang tiada matlamat dan tiada arah tujuan dalam hidup. Lantaran tidak kurang juga tidak mahu dianggap demikian, maka ramai juga yang berazam hanya kerana ikutan kawan. Namun ada juga yang tidak hanya menunggu muncul tahun baru sahaja baru hendak membina azam.Persoalannya, penting sangatkah kita membina azam pada awal-awal tahun ni?
Sebelum menjawab persoalan ini, baik kita teliti dahulu maksud azam itu sendiri. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, azam bermaksud kemahuan ( keinginan, cita-cita dan sebagainya ) yang sangat kuat. Berazam pula mempunyai pengertian mempunyai azam, bertujuan (dengan seungguhnya), bercita-cita kuat untuk melakukan atau mencapai sesuatu. Dalam erti kata lain, azam boleh bertindak sebagai penentu darjah kesungguhan seseorang dalam mencapai matlamat. Azam juga boleh menjadi pemangkin kepada keberanian seseorang untuk melakukan sesuatu melebihi daripada tahap biasa, bak kata pepatah, ‘alang-alang menyeluk pekasam, biarlah ke pangkal lengan’.
Mengetahui akan maksudnya, saya yakin tentu ramai setuju bahawa setiap orang sepatutnya mempunyai azam. Namun kita perlu ingat, pembentukan azam tidak semestinya hanya dibuat pada awal tahun semata-mata. Kita jangan mudah terikat dengan masa ketika mahu membuat azam. Orang yang berjaya dan ingin berjaya tentunya akan sentiasa membina azam, tidak kira masa dan ketika. Azam lama akan sentiasa digantikan dengan azam baru apabila setiap kali azam lama dapat dicapai. Orang sebegini sentiasa berfikiran positif dan sentiasa mempunyai semangat baru dalam menempuhi kehidupannya.
Guru banyak menggalakkan para pelajarnya untuk membina azam terutamanya berkaitan dengan pelajaran dan apa yang ingin dicapai oleh mereka. Jangan jadikan usia muda sebagai penghalang dan benteng dalam sama-sama menanamkan azam baru. Sebagai pelajar, kita harus memiliki satu keazaman yang bertindak sebagai penggerak dalam diri. Dengan adanya azam yang kuat, kita akan melipatgandakan usaha untuk mencapai apa yang kita cita-citakan.
Namun, salahkah jika kita mempunyai azam yang sama seperti sebelumnya? Bagi saya, salah tu tidaklah salah, tetapi kita perlu memperbaiki azam kita agar mudah dicapai dan berpatutan dengan kemampuan kita untuk mencapainya. Biarlah kita berazam pada peringkat yang lebih rendah, kemudian beransur ke peringkat yang lebih tinggi. Di sini, kita perlu lebih belajar daripada apa yang kita dapat dan cuba meluaskan minda kita untuk pandangan yang lebih jauh.
Berikut sedikit sebanyak panduan dalam membina azam baru. Boleh diguna pakai atau diubah suai mengikut keperluan dan kehendak diri berdasarkan kemampuan dan potensi diri.
1. Mulakan dengan niat.
Azam perlu dimulakan dengan niat dalam hati. Sebenarnya yang paling utama sekali dilakukan dalam membina azam, haruslah bermula dari dalam diri kita sendiri. Niat adalah penting kerana niat menyatakan dengan jelas tujuan atau arah sesuatu tindakan yang bakal diambil.
Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah al-Ra‘d, ayat 11). Oleh itu, mulakan azam dengan niat melakukan sesuatu kerana Allah.
2. Tetapkan matlamat
Untuk membina azam, kita perlu menetapkan matlamat yang ingin dicapai dengan jelas. Misalnya, matlamat pelajar untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan iaitu 13A1. Dengan adanya matlamat yang jelas, tentunya kita dapat mengaturkan strategi atau mempelbagaikan alternatif dalam usaha kita untuk mencapainya. Yang penting di sini ialah pembentukan strategi yang betul dan pemilihan tindakan-tindakan yang tepat dalam mencapai azam yang telah dibina.
3. Kenal pasti kekuatan dan kelemahan diri
Azam akan lebih mudah dicapai jika kita dapat mengenal pasti kekuatan dan juga kelemahan diri kita sendiri. Kita perlu melihat darjah kekuatan kita ( baik dari segi fizikal atau mental) dalam mencapai sesuatu matlamat. Tidak semua orang mampu mencapai keputusan semua A dalam peperiksaannya. Nilai diri sendiri. Ubah suai matlamat mengikut kemampuan diri. Matlamat yang hendak kita capai perlulah dan hendaklah logik dan realistik Sebagai pelajar, mungkin guru-guru mata pelajaran dapat membantu kita dalam kita menetapkan target atau sasaran yang hendak dicapai dalam peperiksaan. Lantaran mereka mampu melihat potensi diri yang ada dalam diri pelajar-pelajar mereka.
Konsep kejayaan bersifat subjektif. Tidak bermakna kita gagal andainya tidak mendapat keputusan cemerlang. Ukur baju di badan sendiri. Kita perlu selaraskan matlamat atau sasaran kita dengan kemampuan kita supaya kita juga berjaya dan apa yang kita cita-cita kita lebih mudah dicapai.
Kita juga perlu tahu kelemahan diri kita sendiri. Mungkin selama ini kita bersikap malas, kurang berusaha, kurang membaca, atau leka dengan hiburan semata-mata. Untuk berjaya, kita perlu banyak berkorban. Pengorbanan dari segi masa, tenaga mahupun wang ringgit perlu dilakukan andai ingin berjaya. Setelah mengenal pasti kelemahan diri, berusahalah untuk melakukan perubahan dan memperbaik kelemahan. Selain itu, pelajar juga harus belajar daripada kesilapan yang telah lalu dan mengambil iktibar daripada kegagalan lalu. Jangan ulangi kesilapan yang serupa.
4. Tanamkan sikap-sikap positif dalam diri
Untuk berjaya mencapai segala apa yang kita azamkan, kita harus juga menanam sikap-sikap positif dalam diri. Kita harus berfikiran terbuka. Berfikiran terbuka, dalam erti kata dapat menerima dan menyesuaikan diri serta peka dengan sebarang perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Belajar menerima kritikan dengan hati yang terbuka dan melihatnya dari sudut yang membina. Kritikan daripada para guru bukan untuk melunturkan semangat pelajar-pelajarnya namun untuk kebaikan pelajar itu sendiri. Oleh itu bersikap terbukalah setiap kali guru atau ibu bapa membuat kritikan atau teguran.
Sebagai pelajar, azam yang bina akan lebih mudah dicapai sekiranya kita sentiasa berfikiran positif. Jangan cepat berputus asa. Jika gagal mencari penyelesaian atau jawapan bagi sesuatu masalah dalam pelajaran, jangan mudah berputus asa. Sentiasa berfikiran positif. Pasti ada jalan keluar bagi setiap permasalahan. Mintalah bantuan ahli kelaurga, guru atau para rakan.
Kita perlu juga sentiasa optimis. Jika pelajar pernah gagal atau mendapat keputuan yang teruk, bangkitlah daripda kegagalan itu. Orang yang gagal ialah orang yang tidak mampu bangun daripada kegagalan itu. Dan orang yang berjaya ialah orang yang berjaya bangun setelah jatuh. Jadikanlah kegagalan itu sebagai hikmah dan pendorong untuk berusaha lebih gigih lagi.
Laluan pencapaian azam akan menjadi lebih mudah seandainya pelajar-pelajar mempunyai komitmen kepada diri sendiri iaitu komitmen untuk membuat perubahan. Komitmen juga perlu disertai dengan tindakan yang proaktif. Pelajar-pelajar perlulah memberikan komitmen sepenuhnya dalam pelajaran. Jangan terikut dengan ajakan kawan untuk ponteng sekolah atau membuang waktu untuk aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Azam tidak tercapai malah diri sendiri yang akan rugi.
5. Berserah dan bertawakal
Setiap azam tidak sempurna jika kita tidak bertawakal kepada Allah. Manusia hanya merancang tetapi Tuhanlah yang menentukan segala yang kita cita-citakan. Segala kekuatan jiwa yang kita miliki, masih menghendaki kita mengharapkan hidayah dan taufik dari Allah.
Setelah kita berusaha, kita harus bertawakal dan berserah kepada Allah. Berdoalah agar kita sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah daripada-Nya. Berdoalah agar kita tidak putus daripada mendapat rahmat Allah. Hati perlu sabar dan tabah menanggung kesusahan dan kepayahan dalam kita berusaha mencapai azam kita.
Insyallah, azam yang baik yang dibentuk kerana Allah dan untuk mendapat keredhaan Allah, akan terlaksana dan tercapai dengan izin-Nya. Yang penting kita perlu terus berusaha dan serahkan segala-galanya kepada Allah. Hanya Allah yang menentukan segala-galanya.
No comments:
Post a Comment