Perspektif bagi Tamadun Islam adalah kenyataan bukti-bukti dan rekod sumbangan, kejayaan dan pencapaian yang berteraskan ajaran islam yang menggabungkan unsur-unsur asas yang sepadu meliputi asas keyakinan ketuhanan, kerasulan dan ketulenan sumber wahyu, kemuliaan norma atau nilai diri manusia (kekuatan rohaniah), keutuhan institusi-institusi dalam jaringan kehidupan manusia seperti institusi keluarga, masjid, institusi pendidikan dan lain-lain. Selain itu ia juga meliputi keunggulan ILMU dan kecemerlangan sistem pendidikan, kesahihan sistem undang-undang dan sistem nilai dalam kehidupan, keluhuran nilai estetika dalam kesenian, kegemilangan dalam pencapaian aspek kemajuan kebendaan serta keistimewaan dan keutuhan sistem bernegara.
Identiti Tamadun adalah berasaskan kepada sifat islam sebagai al-Din iaitu sistem kehidupan yang membentuk, membina keseluruhan cara hidup dalam semua bidang kehidupan. Islam sebagai al-Din, berteraskan kepada dua asas iaitu sistem kehidupan yang berpusat atau berteraskan tauhid iaitu pengakuan dan pematuhan terhadap kekuasaan ketuhanan ALLAH serta sistem kehidupan atau cara hidup yang bersumberkan WAHYU iaitu panduan kehidupan yang diturunkan atau dibawa oleh Rasulullah dari ALLAH yang terkandung di dalam al-Quran dan dijelaskan pula oleh al-Hadith/Sunnah (Amalan/praktikal dari Rasulullah).
Terdapat empat aspek utama interaksi dalam islam iaitu hubungan Manusia dengan ALLAH, hubungan/tanggungjawab manusia terhadap diri sendiri (Roh,Jasad dan Akal), hubungan sesama manusia (suami/isteri, keluarga, kawan, masyarakat kepimpinan dan lain-lain), dan yang terakhir hubungan manusia dengan persekitaran.
Sasaran/matlamat Sistem Hidup Islam (al-Din) adalah bahawa semua manusia sentiasa terjamin hak-hak kehidupan dan setiap manusia mendapat peluang kehidupan berdasarkan keperluan dan keupayaan sendiri. Semua manusia wajib menunaikan hak dan tanggungjawab secara maksima, berterusan dan bersama, sehingga boleh mencapai kejayaan, kemajuan dan kebahagiaan, DUNIA dan AKHIRAT.
Al-Din adalah sistem kehidupan yang memelihara dan melindungi prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat seperti prinsip kepercayaan, kehormatan, kemuliaan, keadilan, kesejahteraan, kebebasan dan keilmuan.
Matlamat Tamadun Islam adalah untuk mengukuhkan sistem hubungan manusia dengan ALLAH (Tuhan) Pencipta, Pemilik dan Penguasa ke atas manusia dan alam. Memelihara kehormatan dan kemuliaan manusia meliputi kesempurnaan keyakinan akidah ketuhanan, kesejahteraan nyawa dan tubuh badan, kesejahteraan fakulti akal, kemuliaan kelahiran zuriat atau insan, kesuciaan milikan kebendaan dan mewujudkan sistem kehidupan yang lengkap, sempurna dan universal, menyediakan sistem kawalan dan perlindungan terhadap kesejahteraan alam dan manusia,
Matlamat seterusnya ialah untuk menyediakan sistem nilai akhlak (moral dan etika) yang mulia untuk pembinaan sumber manusia yang berkualiti, membina jaringan kemanusiaan yang adil dan saksama tanpa membezakan usur-unsur perbezaan kejadian, budaya, kepercayaan dan status ekonomi, menyediakan pelbagai dasar/undang-undang dan kaedah untuk membolehkan manusia mencipta kejayaan, kemajuan dan kebahagiaan secara sepadu demi kesejahteraan kehidupan dunia dan kedamaian akhirat serta menyediakan standard atau tanda aras (benchmarking) kehidupan dalam semua bidang.
Perspektif bagi Globalisasi ialah satu proses membuka keadaan. Globalisasi juga difahami sebagai proses dimana sempadan negeri semakin runtuh dan seluruh dunia ini semakin berubah menjadi satu unit. Justeru istilah globalisasi dalam bahasa melayu ialah kesejagatan.
Proses Globalisasi Terjelma dalam hubungan serta interaksi ekonomi, politik, social serta diplomatik di seluruh dunia tetapi secara tidak seimbang. Ini kerana dari segi ekonomi peranan Transnasional Corporation (TNC) dan Multinational Corporation (MNC) yang sebenarnya menguasai sebahagian besar pengeluaran dan perdagangan di dunia ketiga.
Anthony Giddens mengaitkan proses globalisasi dengan perkembangan masyarakat moden. Terdapat dua perkara penting jika dihubungkan dengan masyarakat moden iaitu berkaitan ekonomi – kelahiran sitem kapitalisme serta ekonomi berteraskan industri yang mempertingkatkan penggunaan jentera dan produksi secara kolektif. Manakala berkaitan politik – muncul Negara bangsa di pentas sejarah untuk mentadbir ekonomi dan masyarakat moden dengan kecekapan dan kawalan terpusat dan ke atas penggunaan kekerasan.
Menurut Giddens lagi, apa yang baru adalah kemunculan pengintensifan interaksi tanpa ruang, ia menghubungkan tempat yang jauh sehingga peristiwa setempat dibentuk atau dipengaruhi oleh peristiwa yang berlaku jauh di tempat lain.
Beberapa kebaikan globalisasi yang boleh disenaraikan ialah peranan pelaburan asing dalam mewujudkan pekerjaan dan mengurangkan memiskinan di sebilangan Negara, peningkatan mobiliti sosial dan pengukuhan kelas menengah, peluang yang lebih luas untuk mendapatkan maklumat dan penyebaran ilmu pengetahuan berkat teknologi baru komunikasi dan maklumat.
Kebaikan lain, komunikasi yang lebih mudah dan murah, peluang yang lebih luas untuk pelbagai kumpulan etnik, budaya dan agama berinteraksi, peluang yang lebih baik untuk menzahirkan simpati dan rasa keperimanusiaan mereka terhadap mangsa-mangsa pelbagai bencana alam dan strategi buatan manusia di seluruh dunia, penonjolan idea-idea dan amalan pemerintahan yang baik seperti pertanggungjawaban awam, peraturan undang-undang serta hak asasi manusia serta penonjolan hak-hak asasi manusia.
Bagi keburukan pula, yang dapat disenaraikan ialah kualiti alam sekitar yang semakin merosot akibat terlalu mementingkan faktor keuntungan, pembangunan yang tidak seimbang dan jurang perbezaan ekonomi yang semakin melebar antara kawasan-kawasan di sesebuah Negara dan sektor-sektor ekonomi, pengabaian keperluan asas hidup di kalangan rakyat termiskin di kebanyakan Negara terutamanya di Negara-negara selatan.
Keburukan lain, modal jangka pendek yang keluar masuk pasaran seperti kilat sebagai akibat amalan baru yang menjadikan wang sendiri sebagai komoditi keuntungan, pengangguran yang semakin memburuk dan jurang perbezaan pendapatan yang semakin melebar, penyebaran budaya pengguna yang bertentangan dengan nilai-nilai kerohanian dan murni dan merendahkan martabat keinsanan manusia, kecenderungan kearah pembentukan budaya global yang bersistem menerusi peraturan yang dimainkan oleh perbadanan transnasional dan media komunikasi global serta penyebaran budaya pop Amerika yang “menggegarkan pancaindera dan mematikan roh”.
Pascamodenisme sebagai peristiwa bermulanya keadaan yang disebut counter cultural keadaan yang tercetus di barat munculnya budaya massa, budaya pop dan budaya antipertubuhan. Budaya ini dikembangkan media massa. Pascamodenisme merujuk kepada kekeliruan dan kekalutan. Ziauddin Sardar (pemikir 1995) berpendapat perkara penting memahami erti pascamoden ialah tidak ada kebenaran, tidak ada kepercayaan, hanya tanggapan pemikiran, tidak mempunyai erti dan makna, kepelbagaian kota dan Bandar serta persamaan gambaran atau keraguan keseluruhan.
Umat Islam perlu yakin terhadap Islam kerana ia adalah kurnia terbesar Allah berikan kepada manusia. Hakikatnya adalah Islam merupakan identiti utama umat Islam yang perlu dibanggakan dan bukan disembunyikan. Sikap percaya diri sangat penting sebelum sesebuah bangsa atau umat dapat bangkit dan bersaing dengan yang lain. Kita perlu tegas terhadap golongan yang mempersoalkan kerelevanan Islam dan mempertikaikan ajaran Islam untuk menyambung lidah para orientalis yang didorong rasa kebencian terhadap Islam.
Golongan liberal ini lebih berbahaya kerana ibarat musuh dalam selimut atau parasit yang merosakkan Islam dari dalam tubuh umat Islam sendiri. Banyaknya kajian-kajian yang membuktikan keunggulan dan keutuhan Islam sudah cukup untuk memberi keyakinan kepada umat Islam melangkah ke hadapan bersama Islam dan bukan dengan falsafah-falsafah Barat yang mengelirukan.
blaja subjek tamadun ker?
ReplyDeleteyup....tapi setahun yang lepas....
ReplyDelete