Tanpa guru, kehidupan manusia tidak akan lengkap. Betullah apa yang telah dikata oleh pujangga Usman Awang yang menulis bait keramat bahawa setiap kejayaan dicapai manusia, titik pangkalnya bermula daripada guru. Begitu juga benarlah apa yang telah dikatakan oleh pepatah Melayu yang menganalogikan guru sebagai lilin membakar diri bagi menerangi orang lain masih relevan dalam era globalisasi. Apa tidaknya, ramai kalangan guru kekal pada takuk lama kerana rutin kerja yang diamanahkan oleh pihak ‘stake-holder’, demi melahirkan generasi cemerlang dari segi budaya, agama, sahsiah dan pemikiran. Begitu besar pengorbanan yang dicurahkan oleh para guru dalam melahirkan masyarakat yang cemerlang.
Ini adalah kerana guru bukan sahaja perlu menjaga keluarganya sendiri, malah perlu menjaga kebajikan semua pelajarnya mahupun aktiviti sosial bersama masyarakat sekalipun. Seorang pelajar di Amerika Syarikat pernah dipetik sebagai berkata bahawa guru yang baik ialah guru yang mengajar muridnya seperti mana dia mahukan anak murid mengajarnya. Begitulah yang sepatutnya ada pada seorang pendidik. Bukannya tidak mengendahkan kemampuan dan tahap potensi pelajar. Para pendidik perlu mengambil kira keperluan pelajar dalam berjuang menuntut ilmu.
Cabaran guru masa depan akan lebih hebat dan memerlukan pengorbanan tenaga, wang mahupun masa. Guru harus berfikiran glokal dengan mengadunkan aspek-aspek tempatan dengan kepelbagaian entiti dan intipati dunia yang berlaku begitu pantas dengan pelbagai karenah yang harus dibendung secara lebih bijak dan berhati-hati. Jelas bahawa guru memerlukan satu anjakan paradigma setiap detik dan setiap saat dalam memperkayakan lagi ilmu pengetahuan yang sedia ada. Seorang guru yang proaktif dan berfikiran terbuka lebih mesra dengan sikap keterbukaan dan kesediaannya untuk meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.
Namun, golongan guru boleh menguntumkan senyuman dan patut berbangga kerana jasa mereka terpapar pada setiap kejayaan yang dikecapi, bukan saja murid diajar bahkan pada setiap pelosok pembangunan.
No comments:
Post a Comment