S@ntAi

S@ntAi

Tuesday, December 28, 2010

Sejarah UTHM

Tun Hussein bin Dato’ Onn (1922 – 1990)  

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengguna pakai nama seorang tokoh negarawan Malaysia yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ketiga (1976-1981). Putera sulung, Dato’ Onn bin Jaafar dan Datin Halimah binti Hussein ini diputerakan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru dan menerima pendidikan sekolah rendah di Singapura dan peringkat menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) Johor Bahru. Setelah tamat persekolahan, beliau menyertai Angkatan Tentera Timbalan Setia Negeri Johor sebagai pegawai kadet sehingga dipilih menyertai Akademi Tentera India, Dehradun, sebuah akademi latihan ketenteraan yang tersohor dalam empayar British ketika itu. 

Selepas ditauliahkan dalam tahun 1942, bermulalah karier Tun Hussein dalam perkhidmatan tentera Regimen Hyderabad di India dan seterusnya berkhidmat di Timur Tengah meliputi Mesir, Syria, Palestin dan Iraq dengan menyandang pangkat Kapten.  Dengan semangat keperwiraan, beliau juga bertanggungjawab untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penaklukan Jepun bersama-sama dengan tentera India dan British ketika itu. Apabila Perang Dunia Kedua berakhir, perkhidmatan beliau diteruskan sebagai pengajar di Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya (‘Malayan Police Recruiting and Training Centre’) Rawalpindi, India dan kemudiannya dilantik sebagai Komandan Depot Polis Malaya, Johor Bahru pada tahun 1945.
   
Kecemerlangan dalam perkhidmatan tentera diteruskan dalam Perkhidmatan Pentadbiran Melayu apabila beliau dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah  Segamat, Johor. Malah beliau juga pernah mencurah khidmat bakti sebagai Pegawai Daerah di  Klang dan Kuala Selangor. Namun begitu, beliau meletakkan jawatan untuk menyertai politik dengan dilantik sebagai Ketua Pemuda pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (UMNO) dalam tahun 1949 dan setahun kemudian (1950) dilantik sebagai Setiausaha Agung parti tersebut. Di samping itu beliau juga menjadi ahli dalam Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor. Apabila ayahandanya keluar daripada UMNO dalam tahun 1951 dengan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (Independent Malaya Party, IMP), beliau juga mengambil langkah yang sama. Setelah IMP tidak mendapat sambutan, beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di Lincoln’s Inn, London sehingga lulus sebagai peguam bertauliah dan berkhidmat di Firma Skrine and Company, Kuala Lumpur.

Tun Hussein mendaki kejayaan demi kejayaan dengan pantas setelah menyertai semula UMNO dengan memenangi kerusi Parlimen Johor Bahru Timur dalam pilihan raya umum tahun 1969. Pada 22 September 1970 beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran dengan membawa idea-idea baru seperti meletakkan syarat lulus bagi subjek Bahasa Malaysia dalam peperiksaan awam ke arah membentuk identiti bangsa dan membina perpaduan di kalangan rakyat, sistem kuota diperkenalkan bagi kemasukan ke kursus ikhtisas di universiti tempatan dan memulakan langkah ke arah penubuhan Universiti Pertanian Malaysia. Tangga kejayaan didaki oleh beliau apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973 dan seterusnya sebagai Perdana Menteri pada 15 Januari 1976.  

Tun Hussein telah meneruskan dasar-dasar kepimpinan Tun Abdul Razak yang merupakan teras kepada pembangunan negara. Malah bagi mengukuhkan dasar terdahulu, beliau telah melancarkan Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dalam tahun 1981 yang bertujuan meningkatkan ekuiti bumiputera untuk menikmati kemakmuran ekonomi negara selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Di samping itu, beliau telah melancarkan Rukun Tetangga, Lembaga Perpaduan Negara, Koperasi Usaha Bersatu, Rancangan Malaysia Ketiga termasuk menghadapi ancaman dadah dengan merasmikan PEMADAM dan anasir komunis dengan mengukuhkan angkatan bersenjata sebagai benteng kedaulatan negara.

Tun Hussein memiliki personaliti cermat, teliti dan berdisiplin telah berjaya memainkan peranan yang signifikan dalam menangani masalah yang mengancam keselamatan negara. Beliau tidak akan bertolak ansur terhadap unsur-unsur yang mengancam keamanan, keharmonian dan kestabilan atau dengan kata lain keamanan negara digugat oleh anasir-anasir subversif. Malah perwatakan yang sederhana  yang disulam dengan pendekatan yang tegas telah memperlihatkan keikhlasan beliau memperjuangkan perpaduan di Malaysia. Gelaran ‘Bapa Perpaduan’ sangatlah sesuai seperti mana akronim huruf pangkal nama beliau, ‘HUSSEIN’  yang menjelaskan ciri-ciri perpaduan yang hendak dicapai dalam sebuah masyarakat majmuk di Malaysia. 

Akronim di bawah menjelaskan ciri-ciri tersebut;
·                                 H     Harmony
·                                 U     Unity
·                                 S     Security
·                                 S     Survival
·                                 E     Efficiency
·                                 I     Integrity
·                                 N    National

Tun Hussein telah meninggalkan jasa yang menjadi teras dalam pentadbiran Perdana Menteri selepas beliau yang menekankan nilai amanah, bersih, integriti dan lain-lain ke arah masa depan yang cemerlang. Tanggal 29 Mei 1990 beliau kembali ke rahmatullah akibat serangan jantung di Daly City, California, Amerika Syarikat dan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Al-Fatihah.   

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Sejarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bermula pada 16 September 1993 dengan penubuhan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP), yang bertujuan melahirkan dan melatih tenaga pengajar yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang kejuruteraan untuk sistem politeknik di negara ini. Penubuhan ini mencatatkan satu lembaran baru dalam perkembangan pendidikan negara. Pusat ini dikendalikan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia melalui memorandum persefahaman yang telah ditandatangani bersama pada 28 Jun 1993.


Sebagai pengiktirafan kepada sebuah institusi teknologi yang cemerlang dalam mengharungi perkembangan pendidikan negara terutama keupayaan menangani isu pembangunan sumber manusia khasnya dalam bidang teknikal di negara ini membawa kepada pengisytiharan nama baru iaitu Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada 12 April 1996 oleh Y.B Menteri Pendidikan Malaysia pada masa itu, Dato’  Sri Najib Tun Abdul Razak. 



Dengan kelebihan dan kejayaan melaksanakan tanggungjawab sebagai penyumbang kepada perkembangan yang berteraskan sains dan teknologi dan bertindak sebagai nadi penggerak dalam membantu merealisasikan peranan negara serta kepercayaan oleh kerajaan, maka kabinet pada 27 September 2000 telah bersetuju menaiktaraf ITTHO kepada sebuah Universiti di bawah Akta 30 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan dikenali dengan nama Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (KUiTTHO). Pengumuman bersejarah ini telah dibuat oleh Y.B Tan Sri Dato’ Seri Musa bin Mohamad, Menteri Pendidikan Malaysia pada 30 September 2000. 



Lembaran baru perjalanan menuju puncak kegemilangan institusi ini diselak lagi  apabila mesyuarat Kabinet yang telah diadakan pada 20 September 2006 telah meluluskan untuk menukar nama KUiTTHO yang akan dikenali sebagai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). 1 Februari 2007 merupakan satu tarikh keramat kepada semua warga universiti apabila Datuk Mustapa bin Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi membuat pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut. Majlis Perisytiharan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) telah berlangsung pada 2 Mac 2007 dan dirasmikan oleh Y. B. Dato’ Hishamuddin bin Tun Hussein Onn. 




1 comment: