S@ntAi

S@ntAi

Thursday, December 23, 2010

Adab Terhadap Guru

Guru-guru yang menabur jasa memberi ilmu pengetahuan, tunjuk ajar, dan bimbingan terhadap pelajarnya memang sepatutnya dihormati. Sudah semestinya kita sebagai pelajar perlu patuh dengan arahan guru itu selagi tidak bertentangan dengan agama kita, agama Islam. Di sekolah, guru ibarat ibubapa kita yang menjaga kebajikan para pelajarnya.
1.      Memberikan sepenuh perhatian semasa guru mengajar.
      Tumpuan perlu diberikan semasa guru sedang mengajar dan elakkan daripada berbual-bual dengan rakan sehingga mengganggu guru yang sedang mengajar. Kita perlu sedar percakapan kita dengan rakan di sebelah mungkin mengganggu tumpuan guru itu sendiri. Walaupun sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) membosankan, kita tidak seharusnya mencemar hak guru itu untuk menyampaikan pengajaran mereka. Biarlah bosan, tapi jangalah kita menunjukkan yang kita bosan sehingga mengganggu guru dan rakan lain yang ingin belajar. 


2.     Memberi salam atau menegur guru apabila berjumpa mereka di sekolah atau di luar sekolah.
    Kita digalakkan untuk memberi salam semasa bertembung dengan guru dan budaya ini sebenarnya telah diserapkan oleh pihak sekolah. Namun, sesetengah pelajar berasa malu dan segan untuk bertegur sapa dengan guru. Sikap ini seharusnya dikikis dan mereka perlu jelas bahawa guru itu akan terasa selesa dengan tindakan kita menegur mereka. Ini menunjukkan penghargaan kita terhadap usaha guru dalam mendidik anak bangsa menjadi orang yang berguna.


3.    Bertegur sapa dan bertanyakan khabar mereka.
      Sesekali kita perlulah bertanyakan khabar mereka, tanya mereka sihat atau tidak, makan dah ke belum, nak kemana dan sebagainya. Kita perlu lahirkan bahawa kita mengambil berat terhadap guru kita dan penghargaan kita kerana mendidik kita.


4.    Sentiasa bertanya soalan yang munasabah terutamanya berkaitan dengan pelajaran dengan beradab dan tidak memaksa guru itu menjawabnya.
Bertutur di hadapan mereka dengan kata-kata yang lemah lembut dan penuh rasa hormat. Soalan yang ditanya perlulah rasional dan tidak terlalu extrem di luar pemikiran guru itu sendiri. Janganlah kita membebankan guru itu dengan soalan yang tidak munasabah seperti bertanyakan soalan yang telah diterangkan dengan jelas di dalam kelas atau soalan yang tidak bertepatan dengan situasi.

5.    Menziarahi atau melawat mereka jika berkelapangan (sakit atau hari raya).
     Sudah semestinya guru akan berasa senang sekiranya para pelajarnya datang menziarahi mereka. Tidak semestinya hanya hari perayaan kita boleh berkunjung ke rumah mereka, malah pada hari-hari biasa juga sekadar menjenguk mereka di rumah. Tapi, janganlah terlalu krap kita berkunjung ke rumah mereka, kerana boleh menimbulkan ketidaksenangan mereka nanti. 

6.      Tidak sesekali meninggikan suara dengan guru.
      Sebagai pelajar, kita tidak boleh sesekali meninggikan suara dengan guru, samalah dengan ibubapa kita sendiri. Jika bertanyapun kita perlu bertanya dengan lemah lembut dan tidak melampau dalam mengeluarkan kata-kata. Sikap sabar perlu ada, apatah lagi guru juga banyak bersabar dengan pelajarnya sendiri.


7.      Menjaga nama baik mereka.
   Pelajar tidak boleh memburukkan nama baik guru mereka kepada guru lain mahupun khalayak ramai. Walaupun kita tidak berpuas hati dan kurang senang dengan tindakan guru itu, kita perlu mendapatkan nasihat yang berpatutan dan janganlah kita cuba memburukkan lagi keadaan. 

8.      Menjaga hati mereka.
    Pelajar yang prihatin sentiasa sedar tentang keperluan guru itu sendiri. Kita tidak boleh melawan arahan guru, meninggikan suara dan kurang perhatian di dalam kelas. Komitmen yang tinggi di dalam kelas sangat penting bagi melahirkan suasana P&P yang berkesan dan tidak membosankan. Pelajar perlu memberi maklum balas bagi mewujudkan P&P dua hala, bukan sekadar guru sahaja.


9.      Berusaha untuk meningkatkan pencapaian diri.
     Guru akan berasa puas hati apabila pelajarnya berjaya. Guru sememangnya tidak meminta-minta untuk kebendaan dan mereka menyampaikan ilmu dengan ikhlas dan hanya mengharapkan kejayaan para pelajarnya. Para pelajar perlu sentiasa mengulangkaji pelajaran di rumah dan tidak melupakan nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh guru mereka.


10.  Sentiasa mendoakan kesejahteraan para guru.
      Kehidupan kita penuh dengan doa, dan janganlah kita lupa untuk memohon daripada Tuhan agar memberi kesejahteraan guru-guru yang mendidik kita. Jasa mereka yang bersusah payah menghabiskan tenaga dan masa mereka untuk kita seharusnya dikenang dan dimuliakan. Alangkah bahagianya kita sekiranya guru kita tenang dan bersemangat dalam mendidik anak bangsa supaya menjadi seorang yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara.


No comments:

Post a Comment