S@ntAi

S@ntAi

Thursday, December 30, 2010

Tutup Buku Lama, Buka Buku Baru....



Yesss.....
Esok dah masuk Tahun Baru. ALHAMDULILLAH.
Kena ada SEMANGAT BARU, AZAM BARU.

Korang macam mana? Suka Tahun Baru???
Nasihat DEN jangan lar sambut tahun malam ni lebih-lebih pulak.
Jagalah aklak kita sebagai seorang muslim dan muslimat yang baik.
Jangan duk MERACAU mcm HANTU RAYA sudah ler!!!
Seronok tu seronok, jangan kita LUPA DIRI sudah...

Dah MASUK TAHUN BARU baik kita buka buku baru, tutup buku lama.
Yang lepas tu kita jadikan PENGAJARAN dan PANDUAN kita untuk lebih baik menjelang tahun baru ini.
Jadi, buku lama tu simpan elok-elok, jangan plak kita LETAK MERATA-RATA, nanti susah pulak nak cari balik.

Ha, harap BUKU BARU ni LEBIH MENARIK dan mempunyai isi dan catatan HIDUP yang BERKUALITI.




Ni nasihat den kat hampa semua,
Hiasilah buku baru ni dengan teliti dan rasional.
JAGALAH MUKA DEPAN dengan baik agar tidak comot.
PENUHILAH ia dengan Lakaran dan Coretan yang dapat meninggalkan KESAN yang Positif.
Hidupkan WARNA-WARNI kehidupan yang Cemerlang dan Terbilang.
BANGKITKAN semangat KEUTUHAN dan KECEKALAN dalam menempuhi gelora kehidupan.
PANDANG-PANDANG sekeliling dan janganlah kita PENTINGKAN diri sendiri.


Wednesday, December 29, 2010

TAHUN BARU...AZAM SAMA???



2011
Pejam celik pejam celik dah nak masuk tahun baru. Cepat masa berlalu, dah setahun kita di tahun 2010. Bila je masuk tahun baru, ramailah bercakap pasal azam. Sudah menjadi kelaziman pada awal tahun begini, ramailah asyik bercakap pasal azam tahun baru. Pasti ada yang akan bertanyakan kepada kita, apakah azam kita pada tahun ini. Saya? Mestilah ada azam baru dan ingin saya cuba ubah tentang diri saya ini. Pasti ramai di kalangan anda juga yang akan atau sudahpun membina azam tahun 2011 ni.

Tahun baru sudah semestinya membuka jendela lembaran baru dan nafas segar bagi kita. Oleh itu amat bersesuaian tahun baru ini dimulakan dengan azam. Namun, apakah sebenarnya azam ini? Adakah azam daripada tahun lepas yang tak tercapai dibawa ke tahun baru ini? Pelbagai azam boleh dibina, ada azam baru, namun ada juga azam yang diperbaharui lantaran azam tahun lepas hanya tinggal azam sahaja. Kadang-kadang, azam muncul sekarang, namun hilang dua tiga bulan kemudian, hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja.

Namun, tidak mustahil ada juga orang yang langsung tidak mempunyai azam apa-apa. Jangan terkejut! Apabila ditanya pasal azam, jawapan hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu atau tidak pasti, mungkin juga baru terlintas berfikir azam dia. Sesetengah beranggapan orang yang tidak membina azam adalah orang yang tiada matlamat dan tiada arah tujuan dalam hidup. Lantaran tidak kurang juga tidak mahu dianggap demikian, maka ramai juga yang berazam hanya kerana ikutan kawan. Namun ada juga yang tidak hanya menunggu muncul tahun baru sahaja baru hendak membina azam.Persoalannya, penting sangatkah kita membina azam pada awal-awal tahun ni? 


Sebelum menjawab persoalan ini, baik kita teliti dahulu maksud azam itu sendiri. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, azam bermaksud kemahuan ( keinginan, cita-cita dan sebagainya ) yang sangat kuat. Berazam pula mempunyai pengertian mempunyai azam, bertujuan (dengan seungguhnya), bercita-cita kuat untuk melakukan atau mencapai sesuatu. Dalam erti kata lain, azam boleh bertindak sebagai penentu darjah kesungguhan seseorang dalam mencapai matlamat. Azam juga boleh menjadi pemangkin kepada keberanian seseorang untuk melakukan sesuatu melebihi daripada tahap biasa, bak kata pepatah, ‘alang-alang menyeluk pekasam, biarlah ke pangkal lengan’.



Mengetahui akan maksudnya, saya yakin tentu ramai setuju bahawa setiap orang sepatutnya mempunyai azam. Namun kita perlu ingat, pembentukan azam tidak semestinya hanya dibuat pada awal tahun semata-mata. Kita jangan mudah terikat dengan masa ketika mahu membuat azam. Orang yang berjaya dan ingin berjaya tentunya akan sentiasa membina azam, tidak kira masa dan ketika. Azam lama akan sentiasa digantikan dengan azam baru apabila setiap kali azam lama dapat dicapai. Orang sebegini sentiasa berfikiran positif dan sentiasa mempunyai semangat baru dalam menempuhi kehidupannya.


Guru banyak menggalakkan para pelajarnya untuk membina azam terutamanya berkaitan dengan pelajaran dan apa yang ingin dicapai oleh mereka. Jangan jadikan usia muda sebagai penghalang dan benteng dalam sama-sama menanamkan azam baru. Sebagai pelajar, kita harus memiliki satu keazaman yang bertindak sebagai penggerak dalam diri. Dengan adanya azam yang kuat, kita akan melipatgandakan usaha untuk mencapai apa yang kita cita-citakan.

Namun, salahkah jika kita mempunyai azam yang sama seperti sebelumnya? Bagi saya, salah tu tidaklah salah, tetapi kita perlu memperbaiki azam kita agar mudah dicapai dan berpatutan dengan kemampuan kita untuk mencapainya. Biarlah kita berazam pada peringkat yang lebih rendah, kemudian beransur ke peringkat yang lebih tinggi. Di sini, kita perlu lebih belajar daripada apa yang kita dapat dan cuba meluaskan minda kita untuk pandangan yang lebih jauh.

Berikut sedikit sebanyak panduan dalam membina azam baru. Boleh diguna pakai atau diubah suai mengikut keperluan dan kehendak diri berdasarkan kemampuan dan potensi diri. 

1. Mulakan dengan niat.
Azam perlu dimulakan dengan niat dalam hati. Sebenarnya yang paling utama sekali dilakukan dalam membina azam, haruslah bermula dari dalam diri kita sendiri. Niat adalah penting kerana niat menyatakan dengan jelas tujuan atau arah sesuatu tindakan yang bakal diambil. 
Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Surah al-Ra‘d, ayat 11). Oleh itu, mulakan azam dengan niat melakukan sesuatu kerana Allah. 

2. Tetapkan matlamat
Untuk membina azam, kita perlu menetapkan matlamat yang ingin dicapai dengan jelas. Misalnya, matlamat pelajar untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan iaitu 13A1. Dengan adanya matlamat yang jelas, tentunya kita dapat mengaturkan strategi atau mempelbagaikan alternatif dalam usaha kita untuk mencapainya. Yang penting di sini ialah pembentukan strategi yang betul dan pemilihan tindakan-tindakan yang tepat dalam mencapai azam yang telah dibina.

3. Kenal pasti kekuatan dan kelemahan diri 
Azam akan lebih mudah dicapai jika kita dapat mengenal pasti kekuatan dan juga kelemahan diri kita sendiri. Kita perlu melihat darjah kekuatan kita ( baik dari segi fizikal atau mental) dalam mencapai sesuatu matlamat. Tidak semua orang mampu mencapai keputusan semua A dalam peperiksaannya. Nilai diri sendiri. Ubah suai matlamat mengikut kemampuan diri. Matlamat yang hendak kita capai perlulah dan hendaklah logik dan realistik Sebagai pelajar, mungkin guru-guru mata pelajaran dapat membantu kita dalam kita menetapkan target atau sasaran yang hendak dicapai dalam peperiksaan. Lantaran mereka mampu melihat potensi diri yang ada dalam diri pelajar-pelajar mereka.

Konsep kejayaan bersifat subjektif. Tidak bermakna kita gagal andainya tidak mendapat keputusan cemerlang. Ukur baju di badan sendiri. Kita perlu selaraskan matlamat atau sasaran kita dengan kemampuan kita supaya kita juga berjaya dan apa yang kita cita-cita kita lebih mudah dicapai.

Kita juga perlu tahu kelemahan diri kita sendiri. Mungkin selama ini kita bersikap malas, kurang berusaha, kurang membaca, atau leka dengan hiburan semata-mata. Untuk berjaya, kita perlu banyak berkorban. Pengorbanan dari segi masa, tenaga mahupun wang ringgit perlu dilakukan andai ingin berjaya. Setelah mengenal pasti kelemahan diri, berusahalah untuk melakukan perubahan dan memperbaik kelemahan. Selain itu, pelajar juga harus belajar daripada kesilapan yang telah lalu dan mengambil iktibar daripada kegagalan lalu. Jangan ulangi kesilapan yang serupa. 

4. Tanamkan sikap-sikap positif dalam diri
Untuk berjaya mencapai segala apa yang kita azamkan, kita harus juga menanam sikap-sikap positif dalam diri. Kita harus berfikiran terbuka. Berfikiran terbuka, dalam erti kata dapat menerima dan menyesuaikan diri serta peka dengan sebarang perubahan yang berlaku di sekeliling kita. Belajar menerima kritikan dengan hati yang terbuka dan melihatnya dari sudut yang membina. Kritikan daripada para guru bukan untuk melunturkan semangat pelajar-pelajarnya namun untuk kebaikan pelajar itu sendiri. Oleh itu bersikap terbukalah setiap kali guru atau ibu bapa membuat kritikan atau teguran.

Sebagai pelajar, azam yang bina akan lebih mudah dicapai sekiranya kita sentiasa berfikiran positif. Jangan cepat berputus asa. Jika gagal mencari penyelesaian atau jawapan bagi sesuatu masalah dalam pelajaran, jangan mudah berputus asa. Sentiasa berfikiran positif. Pasti ada jalan keluar bagi setiap permasalahan. Mintalah bantuan ahli kelaurga, guru atau para rakan.

Kita perlu juga sentiasa optimis. Jika pelajar pernah gagal atau mendapat keputuan yang teruk, bangkitlah daripda kegagalan itu. Orang yang gagal ialah orang yang tidak mampu bangun daripada kegagalan itu. Dan orang yang berjaya ialah orang yang berjaya bangun setelah jatuh. Jadikanlah kegagalan itu sebagai hikmah dan pendorong untuk berusaha lebih gigih lagi.

Laluan pencapaian azam akan menjadi lebih mudah seandainya pelajar-pelajar mempunyai komitmen kepada diri sendiri iaitu komitmen untuk membuat perubahan. Komitmen juga perlu disertai dengan tindakan yang proaktif. Pelajar-pelajar perlulah memberikan komitmen sepenuhnya dalam pelajaran. Jangan terikut dengan ajakan kawan untuk ponteng sekolah atau membuang waktu untuk aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Azam tidak tercapai malah diri sendiri yang akan rugi.

5. Berserah dan bertawakal
Setiap azam tidak sempurna jika kita tidak bertawakal kepada Allah. Manusia hanya merancang tetapi Tuhanlah yang menentukan segala yang kita cita-citakan. Segala kekuatan jiwa yang kita miliki, masih menghendaki kita mengharapkan hidayah dan taufik dari Allah.

Setelah kita berusaha, kita harus bertawakal dan berserah kepada Allah. Berdoalah agar kita sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah daripada-Nya. Berdoalah agar kita tidak putus daripada mendapat rahmat Allah. Hati perlu sabar dan tabah menanggung kesusahan dan kepayahan dalam kita berusaha mencapai azam kita.

Insyallah, azam yang baik yang dibentuk kerana Allah dan untuk mendapat keredhaan Allah, akan terlaksana dan tercapai dengan izin-Nya. Yang penting kita perlu terus berusaha dan serahkan segala-galanya kepada Allah. Hanya Allah yang menentukan segala-galanya.





Tuesday, December 28, 2010

MUTIARA HIKMAH

1.      Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : Siapakah yang akan mengambil daripadaku beberapa perkataan lalu beramal dengannya atau memberitahu siapa yang akan mengamalkannya? Jawabku : Saya, wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah SAW memegang tanganku dan mengira lima. Sabda baginda ;"Jauhkanlah larangan-larangan nescaya engkau akan menjadi manusia yang paling beribadah; relalah dengan apa yang telah Allah SWT kurniakan kepadamu nescaya engkau akan menjadi manusia paling kaya; berbuat baiklah kepada jiran nescaya jadilah engkau orang mukmin sejati; Kasihilah orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri nescaya engkau menjadi sebenar-benar muslim dan janganlah engkau banyak ketawa kerana ia akan mematikan hati". (Maksud hadis)

2.      Daripada Abi Hurairah RA rasulullah SAW menyatakan mukmin yang kuat adalah lebih baik dan dikasihi daripada mukmin yang lemah. Dan dalam semua kebaikan maka rebutlah perkara yang memberi faedah kepada dirimu. Dan mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan kamu bersifat lemah. Dan apabila kamu ditimpa bencana jangan kamu mengatakan kalaulah aku berbuat begini tentu akan jadi begini. Bahkan hendaklah kamu berkata bahawa ini adalah suatu ketentuan Allah dan berlaku dengan kehendakNya. Sesungguhnya perkataan 'kalau' ini membuka pintu perbuatan syaitan." (Maksud Hadis).

3.      Mencari kekayaan dan kesenangan dunia tanpa dibatasi dengan keimanan dan kemuliaan akhlak akan menjejaskan ketenteraman, mencalar keadilan dan menghakis kemanusiaan. (al-Iman wa al-Hayah - Syeikh Yusuf al-Qaradhawy).

4.      Orang yang dilanda keluh kesah, kesempitan dada, kosong jiwa, resah dan kesepian hanyalah orang yang tidak memperoleh nikmat iman dan keyakinan.(al-Iman wa al-Hayah - Syeikh Yusuf al Qaradhawy).

5.      "Keimanan berperanan besar dalam membatasi jiwa menusia yang sarat dengan sifat loba, tidak cukup dengan yang sedikit, tidak puas dengan yang banyak dan tidak memadai dengan yang halal."./al-Iman wa al-Hayah - Syeikh Yusuf al-Qaradhawy).
6.      Ilmu adalah panduan, harta adalah alat. Kedua-duanya adalah untuk menegakkan kebenaran, bukan untuk mencari kepentingan dan jauh sekali dari tujuan kesombongan dan kebanggaan. (Kata-kata Hukama').

7.      Jika hati tercemar dengan keburukan dunia, akibatnya terhalanglah ukhuwah yang ikhlas, lantaran hati yang tandus dan malas memikirkan kebenaran. Akhirnya hilang segala nikmat yang Allah SWT berikan, tiada rasa lazat keimanan dan yang tinggal hanyalah tekanan. Insaflah wahai saudaraku, jika kita terlanjur jalan, usah malu mohon keampunan, malah bersegeralah untuk dibimbing kembali kepangkal jalan. Semoga Allah SWT beri keampunan dan kerahmatan .(Kata-kata Hukama')

8.      Kenapa ada benci pada sesuatu yang tidak sepatutnya kita membenci. Kenapa kedekut kasih sayang pada orang yang sepatutnya kita memberi? Kenapa bakhil kemaafan pada orang yang menyakiti? Kenapa tiada ukhuwwah, padahal insan lebih mulia daripada haiwan. (Kata-kata Hukama')

9.      Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (bakhil lagi kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat gelisah dan apabila beroleh kesenangan ia menjadi bakhil." (Mafhum Surah AI-Ma'arij :19-21).

10.  Amat besar kebenciannya di sisi Allah apabila kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (Mafhum Surah al-Saf :3)

11.  Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan perkataan yang menyakitkan (Mafhum Surah AI-Baqarah: 263).

12.  Tidak masuk syurga orang yang suka menabur fitnah. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

13.  Tidak akan masuk ke dalam syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan walau sebesar zarah sekalipun. (Hadis riwayat Muslim).

14.  Allah  SWT  tidak melihat kepada fizikal atau rupa paras kamu. Sesungguhnya Allah hanya melihat kepada hati dan perbuatan kamu.(Hadis riwayat Muslim).

15.  Siapa yang akan diberikan kebaikan (nikmat) oleh Allah diberikannya penderitaan(lebih dahulu). (Hadis riwayat Bukhari).

16.  Sesiapa yang bertengkar dalam sesuatu pergaduhan tanpa usul periksa nescaya ia akan sentiasa berada dalam kemurkaan Allah sehingga ia mati. (Hadis riwayai Abu Dunya).

17.  Manusia lumrah melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat. (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tarmizi).

18.  Barangsiapa menempatkan dirinya di tempat yang dapat menimbulkan persangkaan, maka janganlah menyesal kalau orang menyangka buruk kepadanya. (Khalifah Umar al-Khattab).

19.  Kebajikan yang ringan adalah menunjukkan muka berseri-seri clan mengucapkan kata-kata yang lemah-lembut. (Khalifah Umar al-Khattab).

20.  Orang yang tidak menguasai matanya, hatinya tidak ada harganya. (Khalifah Ali bin Abi Talib).

21.  Aku dapati bahawa manusia yang paling lama mengalami kesusahan ialah pendengki, yang paling tenang hidupnya adalah orang yang qana'ah (iaitu memada dengan yang ada), yang paling rendah kehidupannya ialah mereka yang menolak dunia, dan yang paling besar penyesalannya ialah orang yang berilmu tetapi melampaui batas.(Kata-kata Hukama').

22.  Di antara fitnah orang yang berilmu (orang alim) ialah apabila berkata-kata lebih disukainya daripada mendengar. Padahal mendengar itu lebih selamat daripada berkata-kata kerana dalam berkata-kata orang cenderung untuk mengisi, menambah dan mengurangi. (Yazid bin Abi Habib).

23.  Siapa yang berasa senang dengan pujian orang terhadap dirinya, bererti ia telah mengizinkan syaitan untuk masuk ke dalam perutnya. (Ahmad Athaillah).

24.  Keadaan hamba ini hanya ada empat macam: Nikmat, bala, taat dan maksiat. Maka jika ada di dalam nikmat, kewajipan hamba adalah bersyukur kepada Allah SWT dan jika menerima bala harus sabar dan jika dapat melakukan ketaatan harus merasa mendapat taufik hidayat daripada Allah manakala bila tergelincir dalam dosa maksiat, maka harus beristighfar. (Abu al-Abbas AIMasri).

25.  Ada empat hal yang dapat mengangkat seseorang kepada darjat yang tertinggi, walaupun amal dan ibadahnya sedikit, iaitu bersifat pemaaf, merendah diri, pemurah dan budi pekerti yang baik. Itulah kesempurnaan iman. (Abul Qasim Al-Junaid).

26.  Hai anakku! Apabila perut penuh, nescaya tidurlah fikiran, bisulah ilmu hikmah dan duduklah (malaslah) anggota tubuh daripada beribadah. (Ahli Hikma.)

27.  Mata yang berasal dari unsur air memiliki sifat adil. Dengan melihat sinar mata seseorang, kita boleh mengetahui isi hatinya. Mulut boleh berdusta, tetapi pancaran mata seseorang akan mengatakan yang sebenarnya memantulkan kata hati yang sesungguhnya. (Ahli Hikmah).

28.  Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang yang tidak lekas marah, yang pemalu, yang merasa cukup (qana'ah), yang menjaga diri daripada meminta-minta dan menjadi bapa kepada keluarga yang bertaqwa. Allah SWT marah pada orang yang keji perbuatannya, buruk lidahnya, suka meminta-minta, yang memaksa dan yang kurang cerdik. (ahli Hikmah).

29.  Sebuah musibah akan terasa menjadi kenikmatan jika kita berjaya menghadapinya dengan rasa syukur, sabar dan bertawakal serta merenungi hikmah dari setiap kejadian. (Kata-kata Hukama').

30.  Rasulullah SAW pernah bersabda : Cintailah sesuatu itu sekadar saja. Berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu seketika. Bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada suatu ketika. (al-Hadis).

31.  Kunci kebahagiaan seorang hamba adalah jika apabila dia mampu bersyukur atas kurniaanNya, bersabar atas cobaan-Nya dan bertaubat atas dosanya. (Kata-kata Hukama')

32.  Jadikanlah masalah itu sebagai ianda cinta ALLAH SWT pada kita bukan sebagai bebanan.

33.  Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).

34.  Mahkota adab dan sopan santun lebih tinggi nilainya daripada mahkota yang bertahtakan ratna dan mutu manikam.( Budiman ).

35.  Kata-kata yang lemah lembut dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.

36.  Bertambah kuat kepercayaan kepada agama, berfambah tinggi darjatnya di dalam pergaulan hidup dan bertambah naik tingkah laku dan akal budinya. ( Hamka ).

37.  Pergaulan mempengaruhi didikan minda. Oleh itu, untuk kebersihan jiwa hendaklah anda hendaklah bergaul dengan orang-orang beradab dan berbudi mulia agar dapat kita kutip manfaatnya. (Hamka).

38.  Sifat utama pemimpin ialah beradab dan mulia hati. (Imam AlGhazali).

39.  Mengikut adab kesopanan, tetamu yang tidak menghormati diri dan tidak menghormati ahli rumah yang ditemui, bukanlah orang yang patut dihormati.( Hamka)

40.  Orang beradab pasti pandai menghormati keyakinan orang lain, walaupun dia sendiri tidak sesuai dengan keyakinan orang itu. (Hamka).

41.  Adil ialah menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan jangan berlaku zalim di atasnya. ( Hamka).

42.  Berani menegakkan keadilan, walaupun mengenai diri sendiri, adalah puncak segala keberanian. ( Hamka ).

43.  Yang benar tetap benar, yang salah tetap salah.Kaya dan miskin di hadapan keadilan adalah sama. ( Hamka).

44.  Adil dalam budi pekerti ialah mengamalkan iffah (lembut hati). Adil menghadapi Iawan adalah bersifat dengan sifat syaja'ah (berani). Adil dalam pergaulan ialah menghindarkan sifat bertangguh dan lalai. Adil di dalam masyarakat ialah menenggelamkan kepentingan diri sendiri demi kepentingan masyarakat keseluruhannya ( Hamka ).

45.  Tujuan agama yang benar dan ilmu yang benar hanyalah satu iaitu menuju kebenaran yang mutlak.llmu untuk mengetahui dan agama untuk merasai.llmu untuk bendanya dan agama untuk jiwanya. ( Hamka ).

46.  Agama tidak melarang sesuatu perbuatan kalau perbuatan itu tidak merosak jiwa. Agama ticlak menyuruh,kalau suruhan ticlak membawa selamat dan bahagia jiwa. ( Hamka).

47.  Maksud agama ialah merentangkan jalan, manakala fikiran ialah membanding dan menimbang. ( Hamka).

48.  Tiga sifat yang ditimbulkan oleh agama, iaitu perasaan malu iaitu enggan mendekati suatu yang tercela. Boleh dipercayai di dalam pergaulan hidup ( amanah), benar dan jujur. ( Hamka ).

49.  Kepercayaan kepada Tuhan itu telah ada dalam lubuk jiwa manusia namun kepercayaan tentang adanya ALLAH itu belum menjadi jaminan bahawa orang itu tidak sesat. ( Hamka).

50.  Seseorang mukmin dengan mukmin yang lain laksana susunan batu-bata sebuah bangunan, yang satu menguatkan yang lain. (maksud hadis ).

51.  Apabila sempuran akal, maka akan berkuranglah perkataan. (Saidina Ali Abi Talib).

52.  Orang yang berakal, tidak berdukacita kerana miskin, bahkan yang menjadikannya berdukacita ialah sekiranya ia berkurangan akal dan ticlak mengerjakan amal soleh. (ulama).

53.  Sifat pemarah adalah musuh utama akal rasional. (Saidina Ali Abi Talib ).

54.  Sedalam mana pun ilmu seseorang itu, tidak mungkin memberi manfaat kepada dirinya selagi ilmunya tidak dipandu oleh akal. (Lukmanul Hakim).

55.  Akal yang sihat daripada badan yang sihat. ( Lidah pendeta ).

56.  Salah satu tugas agama ialah memelihara akal. Memelihara akal ialah dengan jalan menambah ilmu pengetahuan, melatih diri berfikir dan merenungkannya. (Hamka).

57.  Kebahagiaan terletak pada kemenangan memerangi hawa nafsu dan menahan kehendak yang berlebih-lebihan. ( Imam AI-Ghazali ).

58.  Kenal akan keindahan dan sanggup menyatakan keindahan itu kepada orang lain adalah bahagia. ( Hamka ).

59.  Bahagia sekali orang-orang yang menahan lidahnya daripada berkata-kata secara berlebih-lebihan dan mendermakan hartanya yang lebih. ( maksud hadis).

60.  Berbahagialah orang yang dapat menyalahkan dirinya sendiri sebelum menyalahkan orang lain. ( Maksud hadis ).

61.  Anggaplah dunia sebagai sebuah tempat yang penuh dengan beraneka perkara menarik yang menunggu anda untuk meneroka don mempelajarinya. (Kata-kata Hukama')

62.  Anda perlu sentiasa bersedia untuk memberi pertolongan, bantuan dan khidmat kepada orang lain. (Kata-kata Hukama')

63.  Bersyukur dan bergembiralah terhadap kejayaan dan kemajuan yang dicapai oleh orang lain dan jangan sekali-kali anda merasa cemburu atau iri hati terhadap mereka. (Kata-kata Hukama')

64.  Anda hendaklah lebih banyak berfikir dan bercakap tentang pengalaman-pengalaman yang menggembirakan daripada pengalaman-pengalaman yang membawa duka nestapa. (Katakata Hukama')

65.  Bersyukur dan berpuas hatilah dengan apa yang anda miliki sekarang. Jangan sekali-kali berfikir bahawa anda akan bergembira setelah memiliki perkara-perkara yang tidak anda miliki sekarang. (Kata- kata Hukama')

66.  Sendirian lebih baik daripada mengambil teman duduk dengan orang jahat, dan teman duduk orang baik adalah lebih baik daripada sendirian. (Kata-kata Hukama').

67.Sahabat sejati adalah orang-orang yang dapat berkata-kata benar denganmu, dan bukan orang-orang yang dapat membenarkan kata-katamu. (Kata-kata hukama').

Sejarah UTHM

Tun Hussein bin Dato’ Onn (1922 – 1990)  

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengguna pakai nama seorang tokoh negarawan Malaysia yang juga merupakan Perdana Menteri Malaysia yang ketiga (1976-1981). Putera sulung, Dato’ Onn bin Jaafar dan Datin Halimah binti Hussein ini diputerakan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru dan menerima pendidikan sekolah rendah di Singapura dan peringkat menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) Johor Bahru. Setelah tamat persekolahan, beliau menyertai Angkatan Tentera Timbalan Setia Negeri Johor sebagai pegawai kadet sehingga dipilih menyertai Akademi Tentera India, Dehradun, sebuah akademi latihan ketenteraan yang tersohor dalam empayar British ketika itu. 

Selepas ditauliahkan dalam tahun 1942, bermulalah karier Tun Hussein dalam perkhidmatan tentera Regimen Hyderabad di India dan seterusnya berkhidmat di Timur Tengah meliputi Mesir, Syria, Palestin dan Iraq dengan menyandang pangkat Kapten.  Dengan semangat keperwiraan, beliau juga bertanggungjawab untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penaklukan Jepun bersama-sama dengan tentera India dan British ketika itu. Apabila Perang Dunia Kedua berakhir, perkhidmatan beliau diteruskan sebagai pengajar di Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya (‘Malayan Police Recruiting and Training Centre’) Rawalpindi, India dan kemudiannya dilantik sebagai Komandan Depot Polis Malaya, Johor Bahru pada tahun 1945.
   
Kecemerlangan dalam perkhidmatan tentera diteruskan dalam Perkhidmatan Pentadbiran Melayu apabila beliau dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah  Segamat, Johor. Malah beliau juga pernah mencurah khidmat bakti sebagai Pegawai Daerah di  Klang dan Kuala Selangor. Namun begitu, beliau meletakkan jawatan untuk menyertai politik dengan dilantik sebagai Ketua Pemuda pertama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (UMNO) dalam tahun 1949 dan setahun kemudian (1950) dilantik sebagai Setiausaha Agung parti tersebut. Di samping itu beliau juga menjadi ahli dalam Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan dan Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor. Apabila ayahandanya keluar daripada UMNO dalam tahun 1951 dengan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (Independent Malaya Party, IMP), beliau juga mengambil langkah yang sama. Setelah IMP tidak mendapat sambutan, beliau melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di Lincoln’s Inn, London sehingga lulus sebagai peguam bertauliah dan berkhidmat di Firma Skrine and Company, Kuala Lumpur.

Tun Hussein mendaki kejayaan demi kejayaan dengan pantas setelah menyertai semula UMNO dengan memenangi kerusi Parlimen Johor Bahru Timur dalam pilihan raya umum tahun 1969. Pada 22 September 1970 beliau dilantik sebagai Menteri Pelajaran dengan membawa idea-idea baru seperti meletakkan syarat lulus bagi subjek Bahasa Malaysia dalam peperiksaan awam ke arah membentuk identiti bangsa dan membina perpaduan di kalangan rakyat, sistem kuota diperkenalkan bagi kemasukan ke kursus ikhtisas di universiti tempatan dan memulakan langkah ke arah penubuhan Universiti Pertanian Malaysia. Tangga kejayaan didaki oleh beliau apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973 dan seterusnya sebagai Perdana Menteri pada 15 Januari 1976.  

Tun Hussein telah meneruskan dasar-dasar kepimpinan Tun Abdul Razak yang merupakan teras kepada pembangunan negara. Malah bagi mengukuhkan dasar terdahulu, beliau telah melancarkan Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dalam tahun 1981 yang bertujuan meningkatkan ekuiti bumiputera untuk menikmati kemakmuran ekonomi negara selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Di samping itu, beliau telah melancarkan Rukun Tetangga, Lembaga Perpaduan Negara, Koperasi Usaha Bersatu, Rancangan Malaysia Ketiga termasuk menghadapi ancaman dadah dengan merasmikan PEMADAM dan anasir komunis dengan mengukuhkan angkatan bersenjata sebagai benteng kedaulatan negara.

Tun Hussein memiliki personaliti cermat, teliti dan berdisiplin telah berjaya memainkan peranan yang signifikan dalam menangani masalah yang mengancam keselamatan negara. Beliau tidak akan bertolak ansur terhadap unsur-unsur yang mengancam keamanan, keharmonian dan kestabilan atau dengan kata lain keamanan negara digugat oleh anasir-anasir subversif. Malah perwatakan yang sederhana  yang disulam dengan pendekatan yang tegas telah memperlihatkan keikhlasan beliau memperjuangkan perpaduan di Malaysia. Gelaran ‘Bapa Perpaduan’ sangatlah sesuai seperti mana akronim huruf pangkal nama beliau, ‘HUSSEIN’  yang menjelaskan ciri-ciri perpaduan yang hendak dicapai dalam sebuah masyarakat majmuk di Malaysia. 

Akronim di bawah menjelaskan ciri-ciri tersebut;
·                                 H     Harmony
·                                 U     Unity
·                                 S     Security
·                                 S     Survival
·                                 E     Efficiency
·                                 I     Integrity
·                                 N    National

Tun Hussein telah meninggalkan jasa yang menjadi teras dalam pentadbiran Perdana Menteri selepas beliau yang menekankan nilai amanah, bersih, integriti dan lain-lain ke arah masa depan yang cemerlang. Tanggal 29 Mei 1990 beliau kembali ke rahmatullah akibat serangan jantung di Daly City, California, Amerika Syarikat dan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Al-Fatihah.   

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Sejarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bermula pada 16 September 1993 dengan penubuhan Pusat Latihan Staf Politeknik (PLSP), yang bertujuan melahirkan dan melatih tenaga pengajar yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam pelbagai bidang kejuruteraan untuk sistem politeknik di negara ini. Penubuhan ini mencatatkan satu lembaran baru dalam perkembangan pendidikan negara. Pusat ini dikendalikan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia melalui memorandum persefahaman yang telah ditandatangani bersama pada 28 Jun 1993.


Sebagai pengiktirafan kepada sebuah institusi teknologi yang cemerlang dalam mengharungi perkembangan pendidikan negara terutama keupayaan menangani isu pembangunan sumber manusia khasnya dalam bidang teknikal di negara ini membawa kepada pengisytiharan nama baru iaitu Institut Teknologi Tun Hussein Onn (ITTHO) pada 12 April 1996 oleh Y.B Menteri Pendidikan Malaysia pada masa itu, Dato’  Sri Najib Tun Abdul Razak. 



Dengan kelebihan dan kejayaan melaksanakan tanggungjawab sebagai penyumbang kepada perkembangan yang berteraskan sains dan teknologi dan bertindak sebagai nadi penggerak dalam membantu merealisasikan peranan negara serta kepercayaan oleh kerajaan, maka kabinet pada 27 September 2000 telah bersetuju menaiktaraf ITTHO kepada sebuah Universiti di bawah Akta 30 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan dikenali dengan nama Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (KUiTTHO). Pengumuman bersejarah ini telah dibuat oleh Y.B Tan Sri Dato’ Seri Musa bin Mohamad, Menteri Pendidikan Malaysia pada 30 September 2000. 



Lembaran baru perjalanan menuju puncak kegemilangan institusi ini diselak lagi  apabila mesyuarat Kabinet yang telah diadakan pada 20 September 2006 telah meluluskan untuk menukar nama KUiTTHO yang akan dikenali sebagai Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). 1 Februari 2007 merupakan satu tarikh keramat kepada semua warga universiti apabila Datuk Mustapa bin Mohamed, Menteri Pengajian Tinggi membuat pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut. Majlis Perisytiharan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) telah berlangsung pada 2 Mac 2007 dan dirasmikan oleh Y. B. Dato’ Hishamuddin bin Tun Hussein Onn.